Mengapa Kita Tidak Mengajar Dengan Kaedah Pelajar Belajar?
Antara salah satu kaedah pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menimbulkan banyak minat di kalangan tenaga pengajar di IPT sejak kebelakangan ini adalah kaedah yang diistilahkan sebagai �pembelajaran aktif' dan �pembelajaran koperatif'. Chickering dan Gamson [1] telah mengumpulkan hasil penyelidikan dan kertas kerja berkaitan pendidikan peringkat siswazah selama puluhan tahun dan menghasilkan tujuh prinsip amalan baik dalam pendidikan siswazah. Antara prinsip yang mereka ketengahkan adalah:
�Learning is not a spectator sport. Students do not learn much just sitting in classes listening to teachers, memorizing pre-packaged assignments and spitting out answers. They must talk about what they are learning, write about it, relate it to past experiences, and apply it to their daily lives. They must make what they learn part of themselves .� [1]
Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak memahami dan tidak mempercayai keberkesanan kaedah pedagogi ini. Kajian menunjukkan masih ramai pengajar di IPT menggunakan pendekatan syarahan sebagai satu-satunya kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bilik-bilik kuliah [2]. Antara punca-punca kritikan dan keengganan menggunakannya adalah kepercayaan bahawa pendekatan ini merupakan alternatif dan bukan kaedah yang dapat meningkatkan keberkesanan syarahan seseorang tenaga pengajar. Namun, untuk belajar secara berkesan pelajar harus melakukan lebih dari mendengar sahaja [1].( Lihat juga Rajah 1).
Dengan menggunakan kaedah pembelajaran aktif bukan bermakna pengajar tidak perlu lagi memberi syarahan kerana syarahan masih merupakan satu kaedah yang berkesan bagi menyampaikan maklumat. Isu yang ingin diketengahkan disini adalah dengan menggunakan kaedah syarahan semata-mata akan menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga pengajar. Terdapat banyak kajian yang membuktikan keberkesanan kaedah pembelajaran aktif seperti dinyatakan di bawah.
Felder et. al telah membandingkan hasil keputusan peperiksaan kumpulan kajian iaitu kumpulan yang menggunakan kaedah pembelajaran aktif dengan kumpulan yang menggunakan kaedah pengajaran tradisional. Kumpulan kajian didapati mengatasi kumpulan yang diperbandingkan dalam banyak perkara seperti bilangan bergraduan, tempoh graduan, dan penguasaan dalam beberapa kemahiran generik [4]. Kaedah pedagogi ini boleh digunakan dalam sebarang kurikulum kejuruteraan di IPT kerana saiz kelas yang besar digunakan dan tiada bilik kuliah khas diperlukan. Rajah 1. Kon Pembelajaran Edgar Dale[3]
Analisis terhadap beberapa kajian keatas pendidikan siswazah dalam bidang sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (SMET) yang dilakukan oleh Springer et. al menunjukkan bahawa pelbagai bentuk pembelajaran dalam kumpulan kecil adalah berkesan bagi mempertingkatkan pencapaian akademik, sikap yang lebih positif terhadap pembelajaran dan meningkatkan kesungguhan dalam kursus dan program SMET. Analisis ini menyokong penggunaan secara meluas pembelajaran dalam kumpulan kecil dalam kursus-kursus SMET [5].
Ruhl et al. mencadangkan agar setiap sesi kuliah diselitkan dengan aktiviti pembelajaran aktif yang pendek agar proses pembelajaran lebih berkesan dapat berlaku. Dalam kajian mereka pengajar memberhentikan syarahan mereka (12 hingga 18 minit) untuk selama dua minit sebanyak tiga kali dalam setiap kuliah. Ketika tempoh berhenti, pelajar secara berpasangan berbincang atau menyemak nota masing-masing dan tiada interaksi antara pengajar dan pelajar. Di akhir setiap kuliah pelajar diberikan tiga minit untuk menulis segala apa yang mereka ingati dari kuliah yang baru disampaikan. Satu kumpulan kawalan juga diberikan kuliah menggunakan bahan yang sama tetapi dengan kaedah tradisional. Kumpulan kajian didapati mendapat keputusan ujian yang lebih baik dengan magnitud perbezaan pencapaian antara kedua kumpulan agak besar Mereka menyimpulkan, � if we talk six minutes less, students learn more. � [6].
Apakah Pembelajaran Aktif?
Pembelajaran aktif merujuk kepada kaedah di mana pelajar MELAKUKAN sesuatu termasuk memproses, mengguna dan membuat refleksi terhadap maklumat yang diberi. Kaedah ini berasaskan kepada dua anggapan: (1) pembelajaran secara tabi'inya adalah satu kegiatan yang aktif dan (2) lain manusia belajar dengar kaedah yang berbeza. Elemen pembelajaran aktif termasuk bercakap, mendengar, menulis, membaca dan membuat refleksi [7]. Bonwell dan Eison [8] menyatakan antara ciri pembelajaran aktif adalah:
�Students are involved in more than listening, less emphasis is placed on transmitting information and more on developing students' skills, students are involved in higher-order thinking (analysis, synthesis, evaluation), students are engaged in activities (e.g., reading discussing, writing), and greater emphasis is placed on students' exploration of their own attitudes and values .�
Menggunakan Kaedah Pembelajaran Akrif Dalam Bilik Kuliah
Penggunaan kaedah pembelajaran aktif boleh mendatangkan masalah kepada pengajaran dan pelajar yang tidak biasa dengan pendekatan ini. Pengajar akan menyerahkan sebahagian dari perjalanan kuliah kepada pelajar apabila beliau menjadi fasilitator sementara pelajar pula harus meningkatkan tanggungjawab bukan sahaja terhadap apa yang harus dipelajari tetapi bagaimana mereka harus belajar. Beberapa kaedah di bawah dapat membantu pelajar untuk terlibat secara aktif dalam pembelajaran.
1. Aktiviti Secara Individu
Kertas Seminit (Minute papers): memberi peluang untuk melihat perkembangan pelajar dari segi kefahaman atau reaksi terhadap bahan yang baru disampaikan. Berikan pelajar beberapa minit pada akhir kuliah untuk menjawab soalan ringkas dengan menulis pada sehelai kertas. Antara soalan yang boleh ditanya: �Apakah perkara penting yang telah dipelajari hari ini? Apakah persoalan yang masih belum dijawab? Apakah tenaga pengaktifan dalam tindakbalas kimia? Apakah perbezaan antara proses kelompok dan proses berterusan?
Kuiz dari Pembacaan (Reading Quiz): ini adalah salah satu cara bagi menggalakkan pelajar membaca bahan yang telah ditugaskan. Pembelajaran aktif juga memerlukan pelajar datang ke kuliah bersedia. Kuiz dari pembacaan juga boleh digunakan untuk melihat pemahaman pelajar terhadap bahan yang dibaca.
Berhenti Seketika (Clarification Pauses): Ini adalah kaedah mudah yang memupuk �pendengaran aktif'. Dalam kuliah terutama selepas memberi definisi konsep penting, biarkan ianya difahami oleh pelajar dan kemudian (selepas menunggu sebentar) tanya jika sesiapa memerlukan penerangan lanjut. Pengajar juga boleh bergerak dalam bilik kuliah ketika waktu �berhenti' ini untuk menjawab soalan pelajar. Sebahagian pelajar mungkin malu untuk bertanya di hadapan semua rakan tetapi akan melakukanna apabila anda bergerak hampir kepada mereka.
Bertanya Soalan (Question and Answers): kaedah ini biasanya digunakan untuk melihat kefahaman pelajar terhadap bahan yang baru disampaikan. Namun terdapat beberapa kaedah yang boleh meningkatkan penglibatan dan sekaligus pemahaman pelajar. Bertanya soalan kepada seluruh pelajar dan mengharapkan seseorang akan memberikan jawapan biasanya hanya mengundang pengajar untuk memberikan jawapannya. Dalam �Kaedah Socrates� pengajar akan memilih seorang pelajar dan memberikan soalan serta menunggu jawapan daripadanya. Jika sekiranya jawapan yang diberi kurang tepat pengajar akan memilih pelajar lain (dan lain) sehingga jawapan yang tepat didapati. Kaedah ini mendapat kritikan kerana ianya akan memalukan pelajar dan hanya menguntungkan segolongan kecil pelajar (pelajar yang diberikan soalan) dalam kuliah. Walau bagaimanapun kaedah ini dapat meningkatkan penglibatan pelajar dan boleh diubah suai dengan meminta pelajar lain untuk menyimpulkan apa yang telah dikatakan oleh pelajar pertama. Ramai pelajar kurang atau tidak mendengar apa yang diucapkan oleh rakan mereka dan menunggu untuk pengajar membetulkan atau mengulang jawapan tersebut. Dengan meminta pelajar menyimpulkan atau mengulang apa yang rakan mereka katakan akan memupuk sikap penglibatan secara aktif di kalangan semua pelajar dan mengalakkan pelajar menjadi pendengar yang baik sesama mereka.
2. Aktiviti Berpasangan
Fikir-Kongsi-Berpasangan (Think-Pair-Share): aktiviti mudah yang boleh digunakan dalam sebarang bentuk bilik kuliah. Aktiviti ini memberi peluang kepada pelajar memberikan pandangan, mendengar dari rakan lain, mengasah bakat berhujah dan lain-lain lagi tanpa menglibatkan pengurusan kerja berkumpulan (pembahagian ahli, masa diambil untuk pergi kekumpulan masing-masing dll.). Kaedah ini memastikan setiap pelajar akan terlibat dan memerlukan setiap individu untuk memberi sumbangan. Antara aktiviti lain selain perbincangan adalah berkongsi/membandingkan nota dan menilai kerja/kuiz rakan.
3. Aktiviti Berkumpulan
Pembelajaran Koperatif/Pembelajaran Berasaskan Masalah (Cooperative Learning/Problem-based Learning): Bagi menyelesaikan permasalahan lebih kompleks yang memerlukan pengibatan ramai anggota, tiga atau lebih pelajar boleh diletakkan dalam satu kumpulan. Dalam kaedah ini pelajar akan saling membantu dalam pembelajaran. Secara umumnya, satu kumpulan yang heterogen (dari segi jantina, bangsa dan pencapaian akademik) adalah lebih baik terutama jika mereka harus bekerja untuk satu jangkamasa panjang atau bagi menyelesaikan masalah yang kompleks. Namun kumpulan juga boleh dibuat secara spontan bagi menggalakkan perbincangan dan mengelakkan pelajar yang belum menguasai bahan atau permasalahan berasa malu untuk bertanya.
Rujukan : Springer, L, M. E, Stanne and S. Donovan, Effects of Small-Group Learning on Undergraduates in Science, Mathematics, Engineering and Technology, http://www.wcer.wisc.edu/nise/cl1/CL/resource/R2.htm , accessed 17 Feb 2005,Ruhl, K. L., Hughes, C. A., & Schloss, P. J. (1987, Winter). Using the pause procedure to enhance lecture recall. Teacher Education and Special Education, 10 , 14-18.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar
Berilah yang bermanfaat bagi Website ini !